Selepas lebih enam bulan berlaku pemberontakan di Libya, rejim Muammar Gaddafi akhirnya tumbang setelah kumpulan pemberontak berjaya menawan hampir seluruh bandar Tripoli.
Bagaimanapun nasib pemimpin Libya itu masih menjadi tanda tanya.
Menurut AFP, anak lelaki bongsu Gaddafi, Seif al-Islam ditangkap oleh pemberontak, manakala anak lelaki sulungnya, Mohammed Al-Gaddafi yang diwawancara oleh televisyen Al-Jazeera di kediamannya dilaporkan menyerah diri, tetapi nasib anak-anaknya yang lain masih tidak diketahui.
Awal pagi ini, Sky News melaporkan pemberontak Libya tiba di Dataran Hijau di tengah Tripoli.Ramai pemuda mengibarkan bendera merah, hitam dan hijau milik pasukan anti-kerajaan dan bersorak dan menari sambil bertakbir dan melepaskan tembakan ke udara.
Ramai yang menunjuk isyarat jari keamanan sambil menjerit "beritahu Muammar dan anak lelakinya bahawa Libya mempunyai anak jantan".
Sementara itu, Reuters yang memetik televisyen al-Jazeeramelaporkan anak lelaki sulung pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, Mohammad, memberitahu awal hari ini bahawa beliau ditahan pemberontak dan dikenakan tahanan di rumah di Tripoli.
“Anggota bersenjata mengepung rumah saya dan saya masih berada di dalam dan mereka di luar. Mereka berkata akan menjamin keselamatan saya. Mereka mengepung rumah saya," katanya menerusi panggilan telefon dari Tripoli.
Bunyi tembakan boleh didengar semasa perbualan itu.
"Ya, tembakan itu dalam rumah saya," katanya sebelum talian tiba-tiba terputus.
AP pula melaporkan harga minyak global dijangka mula mencatatkan penurunan sekiranya pemberontak Libya berjaya menggulingkan Gaddafi; namun kesan keseluruhannya tidak akan dirasai untuk tempoh beberapa bulan.
Malam Ahad (waktu tempatan), pasukan pemberontak bergerak ke Tripoli tanpa berdepan dengan tentangan, ia selepas beberapa jam pangkalan tentera yang mempertahankan ibu kota negara itu dimusnahkan.
Penganalisis bebas, Lipow Andrew, berkata pasaran minyak dijangka akan bertindak balas hari ini dengan mengunjurkan harga yang lebih rendah dalam "tanda lega selepas konflik semakin berakhir."
Namun, Lipow berkata, ia akan mengambil masa untuk pasaran kembali stabil selepas kenaikan harga yang besar terhasil dari penggantungan eksport minyak Libya sejak pemberontakan bermula pada Februari lalu.
Susulan pemberontakan itu, minyak diniagakan pada sekitar AS$84 setong dan menokok di atas AS$93 dan terus meningkat tinggi melebihi AS$110 pada akhir April. Permintaan dari pasaran baru muncul termasuk China juga mendorong harga yang semakin meningkat.
Harga minyak jatuh baru-baru ini bersama stok susulan kebimbangan mengenai ekonomi global.
http://www.malaysiakini.com/news/173721