Pages

kematian adalah sebaik-baik peringatan.....
Showing posts with label TAUHID. Show all posts
Showing posts with label TAUHID. Show all posts

Monday, January 4, 2010

Isu penggunaan nama ALLAH oleh non-muslim

press statement:

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat( 3 Jan 2008)
YB Dato' Ustaz Haji Mohamed Daud Al-Iraqi menjelaskan, tidak menjadi kesalahan kepada penganut Kristian dan Yahudi menggunakan kalimah 'Allah' malah ia sering digunakan oleh umat Krristian dan Yahudi sejak dari dahulu."Cuma jika Allah itu dikaitkan dengan perbuatan dan pemujaan syirik seperti mendua atau mentigakan Tuhan, itu adalah bertentangan dengan agama dan syarak dan dilarang umat Islam mengikut serta; tetapi jika mereka merujuk Tuhan yang sama tidak mengapa.

Kenyataan Akhbar TGNA

3 Jan 2010– Penggunaan kalimah “Allah” pada penerbitan Herald mengikut hukum pengamal agama Samawi tidak menjadi satu kesalahan, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.Cuma beliau bimbang perkataan “Allah” kemungkinan boleh disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.“Tinggal lagi… takut disalahgunakan. Itu yang menjadi kebimbangan,” kata beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan perkataan “Allah” oleh Herald, Khamis lepas.

Press Statement yang berbeza
oleh Nasarudin Mat Isa :

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berkata, kebenaran penggunaan kalimah Allah yang diberikan kepada mereka yang bukan Islam bukanlah isu politik sebaliknya satu pencerobohan terhadap agama rasmi negara ini.“Keputusan mahkamah itu bukan sahaja melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan malah melanggar akidah umat Islam dan ini tindakan yang tidak dapat diterima.“Dalam hal ini, seluruh umat Islam perlu bersatu membantah kebenaran yang diberikan selain menyokong rayuan yang akan dilakukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap keputusan itu, Mingguan Malaysia
dr facebook dr lo'lo'

Isu Nama Allah: Garis Panduan Penggunaan Nama Allah

maza211.pngOleh : Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Di sini saya mencadangkan beberapa perkara untuk diteliti dalam isu penggunaan nama Allah oleh mereka yang bukan Islam.

Seperti mana yang saya sebutkan dalam artikel saya pada tahun 2007 yang bertajuk “Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah” bahawa isu ini lebih bersifat tempatan atau keselamatan setempat, bukan membabitkan larangan secara khusus dari nas-nas Islam. Harap kenyataan ini dibaca bersama dengan artikel tersebut.

Kristian Arab dan juga musyrikin Mekah dahulu juga menyebut Allah sebagai Tuhan. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak membantah hal tersebut. Namun dalam konteks Malaysia, perkara ini agak baru. Ia menimbulkan kegusaran terutama disebabkan berbagai persoalan yang timbul, antaranya apakah maksud yang terselindung di sebalik tuntutan ini?!

Juga di pihak umat Islam sendiri, pendidikan akidah Islam tidak ditekankan secara yang sepatutnya. Kita lebih banyak menumpulkan soal fekah sehingga melupai pokok yang lebih penting iaitu akidah. Inilah sebabnya ramai orang melayu sekalipun bersolat, ada yang mudah terpengaruh dengan khurafat, bomoh, tahyul dan seumpamanya.

Jika kita jelas dalam persoalan akidah, tentu unsur-unsur seperti itu, pengaruh kristianisasi, unsur-unsur agama lain tidak dapat mengelirukan akidah dan pemikiran umat. Isu nama Allah ini sepatutnya menyedarkan kita keperluan menegaskan soal akidah dan batas-batas iman dan kufur.

Untuk mengelakkan ketegangan yang tidak baik untuk negara dan kehidupan masyarakat yang berbilang agama dan kaum, maka saya sekadar mencadangkan beberapa pekara berikut sebagai garis panduan yang patut diambil perhatian oleh pihak kerajaan;

  1. Nama Allah tidak boleh dipanggil melainkan hanya kepada tuhan yang sebenar. Maka dengan itu tiada pihak yang boleh menamakan sekutu-sekutu Allah yang didakwa oleh manusia sebagai tuhan atau perantara tuhan sebagai Allah. Ini seperti memanggil berhala, atau batu, atau patung, atau manusia dengan panggilan Allah. Jika ini berlaku, muslim memang wajar menentang dan membantah. Musyrikin Quraish yang memanggil tuhan sebenar Allah tetapi mensyirikkanNya, pun begitu tidak menamakan berhala mereka dengan nama Allah, sebaliknya menamakan berhala-berhala mereka dengan panggilan al-Lata, al-‘Uzza, Manat dan seumpamanya.

  2. Manusia memang sewajar memanggil tuhan yang sebenar Allah. Ini juga membuktikan ajaran Islam yang memanggil tuhan ‘Allah’ itulah yang benar. Maka, tidak mengapa, bahkan sepatutnya semua manusia tanpa mengira agama menyatakan “Allah yang menciptakan alam”, “Allah yang menurunkan hujan”, “Allah menyuruh kita melakukan kebaikan” dan seumpamanya. Perkataan-perkataan itu benar. Adalah tidak wajar seorang muslim membantah apabila mendengar bukan muslim menyatakan perkara seperti itu. Bahkan al-Quran menyebut: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

  3. Jika mereka akur Allah adalah Tuhan sebenar, lalu mereka memanggilnya dalam ibadat mereka maka seorang muslim tidak boleh mengganggu urusan ibadah agama lain. Walaupun Islam mempertikaikan kesyirikan mereka, tetapi kebebasan beribadah adalah hak setiap agama.

  4. Bukan muslim tidak boleh menggunakan nama Allah untuk penyebaran dakyah yang menghina Islam. Ini seperti mempersendakan Allah dalam sebaran kepada masyarakat Islam atau mempermain-mainkan nama Allah dalam tulisan, lukisan, filem dan seumpamanya seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Barat.

  5. Bukan muslim tidak boleh memputarbelitkan ajaran Islam dengan mempergunakan nama Allah sebagai umpan. Tindakan provokatif seperti itu wajar diambil tindakan tegas. Adalah menjadi prinsip kemanusiaan yang dipegang oleh Islam bahawa tiada siapa pun boleh memutar belitkan maksud ajaran pihak lain. Orang Islam juga tidak boleh memutarbelitkan ajaran agama lain.

  6. Menyebut nama Allah dalam pergaulan antara muslim dan bukan muslim dengan cara yang hormat dan mengagungkan Allah seperti bukan muslim menyebut kepada muslim “semoga Allah merahmati kamu”, atau “semoga Allah memberi rezeki kepada kamu” adalah diizinkan. Bahkan itulah yang sepatutnya. Nabi s.a.w ketika membuat perjanjian dengan Quraish Mekah juga masing-masing menggunakan nama Allah seperti hadis Muslim: Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.

Ini adalah beberapa cadangan saya mengenai hal ini untuk dijadikan garis panduan kepada rakyat Malaysia agar kita tidak merusuh disebabkan isu ini. Sebaliknya, hendaklah setiap pihak menghormati sensitiviti pihak yang lain.

ISU NAMA ALLAH

Isu Nama Allah: Kenyataan Pertama Dr. Mohd Asri

maza211.png” Jika keputusan mahkamah mengenai penggunaan nama Allah itu hendak dipakai, garisan panduan dan peraturan hendaklah dibuat.

Ya, manusia memang patut memanggil Tuhan dengan panggilan Allah. Itulah Tuhan yang sebenar. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW pun, nama Allah telah digunakan untuk memanggil Tuhan. Namun meletakkan nama tersebut dengan tujuan menghina adalah patut ditentang. Ini seperti jika menulis nama Allah pada berhala.

Namun jika mereka berkata ” Allah Tuhan semesta alam”, itu tidak menjadi masalah, kerana itu kenyataan yang benar. Kuffar Quraish pun memanggil tuhan Allah, tetapi tidak menamakan berhala mereka Allah.

Maka peraturan mesti dibuat. Elakkan perbalahan kaum tanpa melihat kepada penyelesaian terlebih dahulu. Saya akan mencadangkan beberapa garis panduan selepas ini.”

- Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Sunday, January 3, 2010

ISU NAMA ALLAH

Isu nama Allah: Telunjuk lurus kelingking berkait

artikel ini dipetik dari penarik beca

Di dalam al-Quran, adakah wujud dalil burhani untuk dinyatakan kepada orang lain atau dalil qat'i (tak kiralah qat'i al-thubut atau qat'i al-dalalah) untuk menjadi pegangan kita sendiri sebagai orang Islam yang melarang orang-orang bukan Islam menggunakan nama Allah? Kalau ada, saya sokong PAS membantah tindakan orang bukan Islam menggunakan nama Allah. Saya juga akan turut serta bantahan PAS itu.

Kalau tak ada, saya tak nak ambil tahu bantahan itu.

Pada bila-bila masa pun, saya sentiasa boleh ditundukkan dengan ayat al-Quran dan hadith yang disepakati.

Tetapi kalau nak menjerit memekik dalam satu kandang perasaan dengan hulubalang-hulubalang yang menjadi pecacai pemimpin-pemimpin yang selama ini menolak Islam, aku tak pergi. Aku meluat.

Saya teringat kisah iblis menyuruh Nabi Isa 'a.s. mengucap kalimah syahadah. Diceritakan bahawa Nabi Isa menjawab, "Memang ia adalah kalimah yang haq dan mulia. Tetapi sebab kamu yang suruh, aku tak nak ucapkan".

Sepanjang hidup saya, dah tak terkira berapa kali saya bersolat jemaah bersama-sama kawan-kawan dari Umno, sama ada di masjid, surau atau hauzah. Bukan sahaja tidak ada masalah, malah saya sangat menyenanginya. Mereka sesungguhnya Muslim.

Tetapi, untuk menjayakan rancangan politik puak-puak yang tengok depa pun aku meluat, aku tak ingin.

Saya tak boleh cakap. Tetapi, dalam hati saya merasa tidak ada bezanya pecacai pemimpin-pemimpin yang menolak Islam itu dengan puak-puak yang menerbitkan Herald-The Catholic Weekly yang kononnya begitu innocent serta lurus dalam keinginan mereka hendak menggunakan nama Allah. Dalam hati, saya yakin mereka sama-sama telunjuk lurus kelingking berkait.

Itu pasti di dalam hati saya. Yang saya tak pasti ialah ialah pendirian rasmi PAS. Adakah apa yang terkandung dalam berita Mingguan Malaysia hari ini bertajuk "Islam perlu bersatu" merupakan pendirian rasmi PAS?

Berkaitan:
"Allah, nama-Mu ku sayang, hukum-Mu ku terajang!!" (Pendikar Gunung Kriang 3/1/10)
Mereka ada agenda (Al-Bakistani 2/1/10)
Allah - the Loss of Innocence (Reme Ahmad 3/1/10)
Kalimah Allah dijadikan daya penarik (Mingguan Malaysia 3/1/10)
Isu Kristian dibenar guna nama Allah (Aris Awang 2/1/09)
Semua milik Allah termasuk nama-Nya (Greenboc 3/1/09)
Ingat sensitiviti kaum, agama (Mingguan Malaysia 3/1/10)
Libatkan wakil pihak berkuasa agama (Mingguan Malaysia 3/1/10)
Rayu Majlis Raja-Raja Melayu campur tangan (Mingguan Malaysia 3/1/10)
Malaysia, Indonesia berbeza (Mingguan Malaysia 3/1/10)
Hormat kalimah Allah 'lafaz jalalah' umat Islam (Mingguan Malaysia 3/1/10)
Kerajaan akan rayu - Jamil Khir (Mingguan Malaysia 3/1/10)
Kalimah Allah: MP Zul-Khalid cabar keluar parti masing-masing (Malaysian Insider 3/1/10)
Zulkifli and Khalid challenge each other to quit over Allah ruling (Malaysian Insider 3/1/10)
Islam perlu bersatu
Mingguan Malaysia (3/1/10): Umat Islam di negara ini diseru bersatu tanpa mengira fahaman politik bagi mempertahankan penggunaan kalimah Allah sebagai hak mutlak agama Islam.

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berkata, kebenaran penggunaan kalimah Allah yang diberikan kepada mereka yang bukan Islam bukanlah isu politik sebaliknya satu pencerobohan terhadap agama rasmi negara ini.

“Keputusan mahkamah itu bukan sahaja melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan malah melanggar akidah umat Islam dan ini tindakan yang tidak dapat diterima.

“Dalam hal ini, seluruh umat Islam perlu bersatu membantah kebenaran yang diberikan selain menyokong rayuan yang akan dilakukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap keputusan itu,“ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Mahkamah Tinggi di sini membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Beliau memberitahu, akidah bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah kerana ia adalah perkara wajib dalam Islam.

Katanya, meskipun tiada tindakan yang akan dilakukan oleh pihaknya, namun sebagai pemimpin Islam beliau akan sentiasa menyokong bantahan dan rayuan yang dilakukan.

“Saya menyeru lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan umat Islam supaya bangkit menyuarakan hak agama Islam yang sedang diceroboh.

“Pada masa sama saya dan seluruh umat Islam yang lain akan terus bersatu menyokong rayuan yang akan dilakukan kerajaan,” ujarnya.
Bertindak segera
Masyarakat Islam bantah keputusan mahkamah benar gereja guna kalimah

Berita Minggu (3/1/10): Pemimpin Islam semua parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang bimbang dengan implikasi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya, mahu kerajaan menyegerakan proses rayuan terhadap keputusan itu.

Mereka berpendapat keputusan mahkamah Khamis lalu itu melanggar Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi dan mahu ia diperhalusi supaya sensitiviti agama dan kaum di negara ini diambil kira. Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat isu itu sebagai amat bahaya dan perlu diselesaikan segera kerana tidak mahu peristiwa Natrah di Singapura berulang di Malaysia.

"Penggunaan perkataan Allah (dalam majalah Herald-The Catholic Weekly) secara tidak langsung menyebarkan dakyah `Christianity' di kalangan orang Islam yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan bahawa agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Perkara ini harus dilihat oleh pengamal undang-undang, sama ada kehakiman mahupun guaman.

"Kita mengharapkan keadilan. Kes ini perlu diteliti bukan saja dari aspek perundangan sivil, tetapi juga perundangan syariah serta maksud tersirat Perlembagaan Persekutuan dan sensitiviti umat Islam," katanya.

Beliau meminta semua pihak menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa perkataan Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pergerakan itu bimbang dengan implikasi yang timbul berikutan keputusan mahkamah itu dan akan berjuang bagi menentukan kedudukan serta kesucian agama Islam tidak dicemarkan.

"Jika perlu kami akan memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beliau berkata, Wanita Umno juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom bagi membincangkan isu itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat walau apa pun alasan yang diberi sebagai justifikasi keputusan berkenaan, ia tetap menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

"Terjemahan 'God' yang diguna dalam agama lain dalam bahasa Melayu atau Arab ialah 'Tuhan', bukan Allah. Allah spesifik Tuhan bagi orang Islam. Kalau mereka faham mereka akan guna perkataan Tuhan, bukan Allah.

"Saya akui kalimah Allah diguna di Sabah dan Sarawak sebelum mereka masuk (bergabung) dalam Malaysia... tetapi di Semenanjung kita tak pernah dengar pula," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Mahasiswa Melayu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.

Pada 16 Februari tahun lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berharap rayuan segera dilakukan kerana melihat semacam ada satu usaha cuba merobek keadaan sehingga timbul kekeliruan di kalangan umat Islam.

"Ini bukan isu politik, ini isu akidah, tauhid yang umat Islam tidak akan beri respon (maklum balas) senyap terhadap isu ini," katanya.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, juga berharap kerajaan menyegerakan proses rayuan itu kerana ia melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan orang bukan Islam tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh meragukan umat Islam.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kalimah Allah dalam akidah adalah membabitkan soal tauhid dan isu berkenaan perlu diteliti secara halus dan jika perlu, ada campur tangan Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan bagi mengelak suasana tegang dalam masyarakat.

"Jika kalimah Allah digunakan dalam agama Kristian, ia tidak membawa maksud sebenar dalam al-Quran kerana tidak menggambarkan ketauhidan.

"Kita tidak nafi ada istilah yang Allah sebut mengenai penggunaan Allah oleh bukan Islam, contohnya `Kalau kamu tanya mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka kata Allah. Dalam konteks penciptaan memang mereka mengatakan Allah tetapi nilai ketauhidan yang membezakan antara Islam dan bukan Islam," katanya.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin dari PKR berpendapat keputusan mahkamah berkenaan tidak tepat dan boleh dipertikaikan, malah akan menyebabkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.

Beliau dalam kenyataan media di laman blognya, berkata keputusan itu secara tidak langsung mencabar dan melanggar Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan fahaman dan dakyah agama lain tidak dibenarkan sama sekali terhadap orang Islam. Membenarkan penerbitan Kristian menggunakan perkataan Allah bagi penerbitan berbahasa Melayu jelas satu bentuk dakyah halus kerana Melayu adalah bangsa yang beragama Islam.

"Ini sekali gus mencabar dan tidak menghormati Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa orang Melayu mestilah beragama Islam; dengan membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam risalah penerbitan Kristian, ini sebenarnya dikira akan mendorong penganut Kristian dalam perlakuan jenayah kerana Enakmen Penyekatan Pengembangan Agama, Iktikad dan Kepercayaan Lain terhadap Orang Islam (Anti Propagation Law), yang digubal dengan sahnya menurut Artikel 11 Perlembagaan di beberapa negeri jelas memperuntukkan bahawa adalah satu kesalahan jenayah bagi sesiapa menggunakan perkataan tertentu termasuk 'Allah' kecuali bagi maksud Islam," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman menggesa kerajaan memfailkan rayuan serta-merta supaya keputusan itu dikaji semula dan melarang mana-mana agama selain Islam menggunakan kalimah Allah.

"Negara telah menikmati suasana kebebasan beragama selama mana Islam menjadi agama rasminya dan semua kaum di negara ini harus menghargainya dengan tidak mencuba menggugatnya dengan bertindak secara bodoh membangkitkan perkara remeh seperti ini," katanya.

Katanya, PPIM bimbang keputusan itu bakal mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara akibat sentimen agama umat Islam yang sensitif dengan perkara yang menyentuh soal kepercayaan mereka dan kebimbangan mereka akan nasib keturunan mereka jika perkara ini berterusan.

"Umat Islam mengenal Allah berserta sifatnya sekali dengan ketauhidan yang meliputi ketauhidan rububiah, uluhiah dan asma' wa sifat. Kita percaya Allah yang bercirikan ahadiah dan samadiah.

"Bagaimana mungkin pihak lain merujuk Allah sewenang-wenangnya tanpa melihat semula akan sifat dan ciri-ciri Allah yang sediakala itu? Apakah sifat Allah yang mereka percaya itu? Al-Quran ada menjelaskan bahawa orang Yahudi mempercayai Uzair itu anak Allah dan orang Nasrani pula percaya bahawa Al-Maseh itu anak Allah. Ini jelas bertentangan dengan Allah yang diimani oleh umat Islam," katanya.
Khalid didesak keluar Pas
Kenyataan sokong keputusan benar gereja guna nama Allah

Berita Minggu (3/1/10): Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad didesak supaya keluar daripada Pas dan menyertai parti lain, termasuk DAP berhubung kenyataannya yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang menyifatkan kenyataan Khalid dan beberapa tindakan beliau sebelum ini terutama selepas menjadi Ahli Parlimen sudah merosakkan imej Pas sebagai parti yang memperjuangkan Islam, juga mencadangkan supaya beliau dipecat daripada Pas.

"Tindak tanduk dan sikap Khalid ini tidak selaras dengan perjuangan Islam yang dibawa Pas.

Malah respons diterima jelas menunjukkan ada orang Melayu beragama Islam mula mempertikaikan perjuangan ikhlas Pas dalam memartabatkan Islam kerana wujudnya karektor seperti Khalid.

"Saya sendiri dihujani pelbagai kritikan kerana dilihat bersekongkol dengan Khalid kerana beliau duduk di dalam barisan YB Pakatan Rakyat," kata beliau dalam blognya semalam.

Khalid yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam melalui blognya menyatakan sokongan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah pada Khamis lalu.

Khalid dalam blognya berkata, Allah bukan Tuhan kepada orang Islam semata-mata tetapi Tuhan kepada seluruh alam semesta, ter-masuk orang bukan Islam dan Rasulullah tidak pernah menghalang penggunaan perkataan Allah oleh orang bukan Islam.

Katanya, Al-Quran sendiri mempunyai banyak ayat yang menunjukkan bahawa orang bukan Islam, sama ada golongan Musyrikin, Yahudi mahu pun Nasrani menggunakan perkataan Allah apabila mereka memaksudkan Tuhan semesta alam.

Zulkifli daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata nama Allah bukan milik sesiapa pun melainkan milik mutlak Allah dan melalui surah al-Ikhlas, jelas membuktikan Allah Tuhan yang satu, berbeza dengan agama Kristian termasuk di negara ini yang menggunakan nama Allah dengan menyifatkannya sebagai Tuhan triniti iaitu tiga dalam satu termasuk Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Ruh Qudus.

Zulkifli berkata, beliau hairan bagaimana orang terpelajar seperti Khalid boleh menyokong keputusan mahkamah itu.

"Apakah beliau reda selepas ini kalau segala gurdwara, gereja dan rumah ibadat lain bukan Islam mempamerkan perkataan Allah, Kristian mencatat perkataan Allah di salib mereka dan golongan Punjabi mengukir nama Allah di atas gurdwara mereka? Kalau itu berlaku saya akan persalahkan Khalid," katanya.
Guna nama Allah: Khalid setuju keputusan Mahkamah
Harakah daily (01/01/10): Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad petang tadi bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang orang-orang bukan Islam dari menggunakan perkataan 'Allah'.

Beliau yang sebelum ini dilihat lantang mempertikai usaha KDN di di Parlimen, menganggap keputusan Mahkamah semalam menepati nas al-Quran.

"Keputusan Mahkamah itu menepati dengan al-Quran, iaitu perkataan Allah bukan milik eksklusif umat Islam sahaja tapi semua manusia patut menyembahnya," jelas beliau selepas menyertai solat Jumaat di Surau Nur Hidayah, di sini.

Beliau turut menasihatkan KDN supaya tidak melarang sesuatu yang jelas digalakkan dalam Islam.

"Kalau kita (KDN) nak menghalang keputusan itu, secara tidak langsung seolah-olah menghalang apa yang digalakkan oleh Allah sendiri.

"Yang membeza orang Islam dan bukan Islam bukanlah tuhan kita adalah Allah dan tuhan mereka tidak (dipanggil) Allah, tapi yang membezakannya adalah kefahaman tentang ajaran Islam itu sendiri," katanya.

Menurut beliau, keputusan mahkamah itu sekali gus mengukuhkan kefahaman orang Islam terhadap agama mereka, bukannya atas nama Islam sahaja.

"Saya rasa keputusan ini (mahkamah) akan mengukuhkan lagi kefahaman Islam di kalangan orang Islam sendiri, bukan atas nama (Islam) saja," jelasnya.

Ujarnya lagi, Rasulullah s.a.w sendiri pun tidak menghalang masyarakat bukan Islam dari mengaku Allah sebagai Tuhan mereka.

Sebaliknya, Nabi menerapkan kefahaman Islam kepada masyarakat bukan Islam menggunakan rasional dan dakwah; sebagaimana ditunjukkan dalam ayat 87-88 dari surah az-Zukhruf; dan ayat 63 dari surah al-Ankabut.

Tambahnya lagi, kedua-dua ayat tersebut seharusnya mendorong masyarakat Islam menjelaskan kefahaman sebenar tentang Allah dan Islam itu sendiri.

Terdahulu, akhbar mingguan The Herald dihalang dari menggunakan perkataan Islam dalam penerbitan mereka.

Ekoran itu, Gereja Katholik telah memohon perintah Mahkamah supaya menolak larangan yang dilakukan KDN itu.
Khalid tuduh Zulkifli jahil
mStar Online (3/1/01): Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan rakan sejawatannya dari Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin sebagai jahil kerana mendesaknya keluar parti.

Malah beliau menasihatkan Zulkifli supaya merujuk kepada kitab dan buku agama sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang menampakkanya sebagai seorang yang tidak berilmu mengenai Islam.

"Rujuk kepada al-Quran dan fakta bila nak beri pandangan jangan ikut sentimen.

"Masalahnya dia tak faham tentang perkara ini tapi tetap nak beri komen, rujuklah kitab dan buku agama... kenyataan beliau hanya menzahirkan kejahilan dirinya sendiri," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Khalid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Zulkifli melalui blognya yang mendesak Yang Dipertua PAS Shah Alam itu keluar dan menyertai parti lain termasuk DAP berhubung kenyataannya yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah.

Mengulas lanjut, Khalid berkata beliau tidak akan cepat melatah dengan desakan tersebut kerana menganggap ia satu perkara yang remeh.

"Saya tak nak layanlah desakan-desakan macam ini, perkara kecil sahaja, buat apa nak besar-besarkan.

"Cuma saya nak nasihat kepada YB (Yang Berhormat) Zulkifli supaya berfikir dahulu sebelum buat kenyataan," katanya.

Zulkifli daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), dalam blognya, zul4kulim.blogspot.com berkata, nama Allah bukan milik sesiapa pun melainkan milik mutlak Allah dan melalui surah al-Ikhlas, jelas membuktikan Allah tuhan yang satu, berbeza dengan agama Kristian yang menggunakan nama Allah dengan menyifatkannya sebagai tuhan triniti iaitu tiga dalam satu termasuk Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Ruh Qudus.

Malah Zulkifli berkata, beliau hairan bagaimana orang terpelajar seperti Khalid boleh menyokong keputusan mahkamah itu.

Desakan Zulkifli itu dibuat sebagai respons kepada kenyataan awal Khalid yang dimuatkan dalam blognya iaitu Allah bukan tuhan kepada orang Islam semata-mata tetapi kepada seluruh alam semesta, termasuk orang bukan Islam dan Nabi Muhammad S.A.W tidak pernah menghalang penggunaan perkataan Allah oleh orang bukan Islam.

Katanya, al-Quran sendiri mempunyai banyak ayat yang menunjukkan bahawa orang bukan Islam, sama ada golongan musyrikin, Yahudi mahu pun Nasrani menggunakan perkataan Allah apabila mereka memaksudkan tuhan semesta alam.

Dalam pada itu Khalid mendakwa, isu penggunakan kalimah Allah ini sengaja diperbesarkan oleh Umno untuk memenuhi kemahuan politik mereka.

Beliau percaya Umno sengaja menggunakan isu kalimah Allah berkenaan untuk menjuarai hati rakyat dan menunjukkan kononya mereka merupakan parti yang sentiasa memperjuangkan isu agama.

"Bagi saya isu ini sengaja ditonjolkan oleh Umno, mereka sengaja nak peralatkan isu ini.

"Mereka kononnya nak jadi penggerak kepada permuafakatan antara parti-parti politik dan dengan cara itu orang akan nampak merekalah pejuang yang sebenarnya," katanya.

Dalam pada itu, Khalid menasihatkan Zulkifli supaya tidak terpedaya dengan helah Umno itu.

"Sekali lagi saya nak nasihatkan agar beliau jangan mudah sangat terpedaya dengan helah-helah macam ini.

"Sebagai wakil rakyat Pakatan Rakyat, beliau sepatutnya perlu lebih bijak membuat penilaian dan jangan meletakkan diri dengan perkara seperti ini kalau tak faham isu," katanya.

Selain itu menjelaskan lanjut mengenai isu ini, Khalid berkata, perkara utama yang membezakan antara orang Islam dan bukan Islam ialah tauhid.

"Perkara yang membezakan Islam dan bukan Islam ialah tauhid, orang Islam percaya wujudnya Allah.

"Orang bukan Islam pun percaya Allah itu ada, tapi pada masa yang sama mereka juga percaya Allah itu ada sekutunya, mereka percaya Nabi Isa itu anak Allah... ini adalah fakta," katanya.