Pages

kematian adalah sebaik-baik peringatan.....
Showing posts with label sultan kelantan. Show all posts
Showing posts with label sultan kelantan. Show all posts

Sunday, September 19, 2010

Baginda sultan, baginda imam




TUANKU Muhammad Faris pemimpin berjiwa rakyat yang mementingkan aspek keagamaan.


“MAK CIK kena makan ubat, jangan simpan dalam rumah saja. Jangan selang-seli, kalau terasa mahu muntah pun paksa juga makan. Insya-Allah kalau mak cik makan ubat ikut jadual akan sihat mungkin tidaklah gemuk macam Datuk (Datuk Dr. Awang Adek) atau saya, tapi makin sembuhlah badan mak cik," gurau Tuanku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail kepada seorang wanita berpenyakit kronik, Hasnah Ibrahim dalam ziarahnya ke rumah wanita itu di Kampung Peropok dekat Bachok, Kelantan, Ogos lalu.
Gurauan baginda yang ketika itu merupakan Pemangku Raja menyebabkan tetamu yang ada di rumah itu tersenyum termasuk Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin.
Mungkin itulah gambaran mudah siapakah Tuanku Muhammad Faris, 41, yang baru dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan.
Mesra dan prihatin akan keadaan rakyat. Sepanjang bergelar Pemangku Raja atau Tengku Mahkota, baginda kerapkali dilihat mencemar duli menziarahi golongan miskin dan ditimpa musibah.

TUANKU Muhammad Faris semasa bergelar Pemangku Raja berdoa bersama jemaah selepas selesai solat maghrib pada satu majlis berbuka puasa, Ramadan lalu.


Pemangku Raja
Antaranya, baginda menghadiri majlis tahlil di rumah bapa kepada mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat Pilatus, Muhammed Zulrihan, 39, dan menemui keluarga arwah Ustazah Norliza Ishak dan anak lelakinya yang mati dibunuh di Port Dickson, Negeri Sembilan Ramadan lalu.
Tuanku Muhammad Faris diputerakan pada 6 Oktober 1969 dan telah dianugerahkan gelaran Tengku Mahkota Kelantan pada Oktober 1985.
Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja pada 24 Mei tahun lalu setelah ayahanda baginda, Sultan Ismail Petra gering dan dibawa ke Singapura untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth.
Tuanku Muhammad Faris dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru selaras dengan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan pada 13 September lalu.
Baginda mendapat pendidikan awal di Kota Bharu dan di Kuala Lumpur. Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Oakham School Rutland, England sehingga tahun 1989. Baginda seterusnya memilih untuk menuntut ilmu di Oxford dalam bidang Pengajian Diplomatik di Kolej St. Cross dan Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.
Tuanku Muhammad Faris bukan sultan biasa. Selain baginda disifatkan oleh bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Sri Utama Raja Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah sebagai mencipta sejarah baru kesultanan Kelantan apabila dilantik ketika ayahandanya masih hidup, Tuanku Muhammad Faris juga mempunyai penampilan yang jarang dilihat pada sultan biasa.
AYAHANDA dan bonda Tuanku Muhammad Faris, Tuanku Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kota Bharu baru-baru ini.


Berjubah
Baginda sering memakai jubah atau berbaju ‘gumbang’ serta berkopiah. Baginda juga seorang imam kepada makmumnya.
Januari lalu, kala Sultan Ismail gering, baginda sendiri yang menjadi imam kepada ribuan rakyat jelata Kelantan menunaikan solat hajat berdoa akan kesejahteraan ayahandanya.
Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu menjadi saksi baginda mengimamkan solat hajat yang dihadiri lebih 1,000 rakyat negeri itu.
Tuanku Muhammad Faris sudah lama diketahui rakyat sebagai putera istana yang cintakan agama dan sering menjadikan masjid sebagai lokasi utama lawatan semasa program menziarahi rakyat di seluruh negeri.
Pada hari-hari biasa, Masjid Muhammadi di pusat bandar yang merupakan Masjid Negeri adalah masjid utama tempat baginda menunaikan solat berjemaah.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad memberitahu Jurnal, Tuanku Muhammad Faris sememangnya gemar mendekati golongan agama.
Dedahnya, dari dahulu lagi setiap orang daripada 15 anggota Jemaah Ulama, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri sudah mempunyai nombor telefon bimbit baginda untuk kemudahan berhubung bagi memberi sebarang pandangan dan nasihat.

TUANKU Muhammad Faris Petra (dua dari kanan) berkenan bersalaman dengan para tetamu di rumah terbuka baginda di Istana Negeri Kubang Kerian baru-baru ini. Hadir sama Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra (kanan).


“Tuanku Sultan memberi nombor telefonnya kepada kami secara peribadi dan berpesan supaya menelefon baginda pada bila-bila masa jika ada perkara yang dirasakan perlu ditegur dan dinasihati.
“Baginda memberi peluang sebegitu terbuka kepada ahli Jemaah Ulama untuk menegur baginda secara langsung tanpa ada sebarang halangan atau protokol.
“Saya tidak mengetahui jika ada ulama yang pernah menghubungi baginda khusus untuk tujuan itu tetapi begitulah istimewanya Tuanku Muhammad Faris dalam memberi pengiktirafan kepada ahli agama,” katanya.
Tambahnya, baginda juga sudah beberapa kali menunaikan fardu haji dan kali terakhir menyempurnakannya pada tahun 2004.
“Pengukuhan asas dan ilmu agama baginda ini sebenarnya bermula sejak baginda kecil lagi. Ia sudah menjadi tradisi keluarga diraja untuk menjemput para ulama datang ke istana negeri memberi kuliah agama.
“Antara yang pernah menjadi guru kepada Tuanku adalah bekas Mufti Kelantan iaitu Allahyarham Datuk Mohd. Nor Ibrahim manakala selepasnya pula ilmuwan tersohor Allahyarham Datuk Yusoff Zaky Yaacob.
“Pelbagai aspek agama disentuh daripada bab akidah, fekah dan akhlak menerusi pembacaan kitab-kitab khusus,” kata Mohamad Shukri yang kini menyambung tugas menyampaikan kuliah agama kepada keluarga diraja.
Beliau berkata, sejak dari kecil, baginda berguru mengaji al-Quran dengan seorang qari yang pernah menjulang nama negara di peringkat antarabangsa yang juga bilal ternama negeri ini iaitu Nordin Idris.



‘Ambo’
Katanya, sejak bersemayam di Istana Telipot beberapa tahun ini, Tuanku Muhammad Faris tetap meneruskan amalan memanggil ulama ke istana itu dan baginda tidak meminggirkan petugas-petugas dan pegawai pengiringnya dalam majlis ilmu tersebut.
“Kesemuanya dijemput hadir. Kuliah itu diadakan setiap minggu dan akan ditunda jika bertembung dengan jadual tugas Tuanku yang lain,” katanya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan, Tengku Mohd. Norhamzah Engku Hussin pula memberitahu, baginda seorang yang merendah diri.
“Seingat saya, semasa baginda menjadi Tengku Mahkota, baginda sering menggunakan perkataan ‘ambo’ sebagai kata ganti dirinya apabila berbicara. Ia jelas melambangkan keperibadian yang merendah diri memandangkan ‘ambo’ itu berbunyi seperti hamba,” ujarnya.
“Tapi apabila baginda kini bergelar sultan, mungkin baginda perlu lebih mengikuti protokol,” katanya. sambil melafazkan pertubuhannya menjunjung kasih dan taat setia kepada sultan sepenuhnya.
Tengku Mohd. Norhamzah memberitahu, baginda juga banyak mewarisi sifat ayahandanya yang menggemari sukan berkuda dan menembak.
Akhbar pernah melaporkan sebelum ini bahawa baginda turut meminati sukan lasak seperti ekspedisi 4X4.
Minat mendalam turut ditunjukkan terhadap sukan memanah, memburu, boling dan memancing. Baginda juga gemar memelihara haiwan seperti kuda, kucing, ayam, rusa dan burung.

Thursday, September 16, 2010

AALAHU AKBAR @ DAULAT TUANKU

Tengku Muhammad Faris dimasyhur


Tengku Muhammad Faris Petra menerima watikah pemasyhuran Raja Kelantan daripada Nik Abdul Aziz Nik Mat (tengah) di Balairung Seri Istana Balai Besar di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 13 Sept. - Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuat kuasa hari ini.
Pengisytiharan pemasyhuran itu diumumkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Balairung Seri Istana Balai Besar di sini pada pukul 12.30 tengah hari ini.
"Maka dengan ini diisytiharkan mengikut perkara 29 A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan melantik dan mengesahkan Pemangku Raja Kelantan menaiki takhta menggantikan ayahanda baginda berkuat kuasa hari ini," katanya ketika mengumumkan pemasyhuran itu.
Turut hadir Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra, Pengerusi Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang juga Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim, Pengelola dan Ketua Istiadat Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, pembesar-pembesar negeri dan semua anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Nik Abdul Aziz berkata, Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang dipengerusikan Tengku Abdul Halim telah bermesyuarat pada pukul 9 pagi ini di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Darul Naim di sini bagi membuat keputusan itu.
Sebagai mewakili rakyat jelata, Nik Abdul Aziz melafazkan taat setia yang tidak berbelah-bahagi terhadap Sultan Kelantan.
"Sekian hamba rakyat mengaku taat setia dan kepada Allah SWT dipohonkan taufik dan hidayat semoga Tuanku Muhammad Faris Petra dapat memerintah dan memandu negeri agar aman, mewah dan makmur dan semoga Allah SWT menyelamatkan Tuanku di dunia dan di akhirat," katanya sebelum mengakhiri pengisytiharan itu dengan laungan takbir Allahuakbar sebanyak tiga kali.
Menurut sumber, seramai 15 anggota MPN hadir pada mesyuarat pagi ini kecuali dua anggotanya iaitu Ahli Parlimen Gua Musang yang juga kerabat diraja Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah dan adinda bongsu Sultan Kelantan Tengku Amalin A'Ishah Putri.
Tuanku Muhammad Faris Petra diputerakan pada 6 Oktober 1969 telah dianugerahkan gelaran Tengku Mahkota Kelantan pada Oktober 1985.
Baginda juga mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A'Ishah Putri. - Bernama
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

 

Kegeringan berpanjangan Tuanku Ismail Petra perlukan pengganti - SUK

KOTA BHARU 13 Sept. - Pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan adalah selaras dengan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berikutan keadaan ayahanda baginda Sultan Ismail Petra yang gering sejak lebih setahun lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Aiseri Alias berkata, mengikut peruntukan Perkara 23A, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), menyatakan jika setelah siasatan dilakukan, Majlis Perajaan Negeri berpendapat raja mempunyai kecacatan yang besar, maka seorang pengganti hendaklah dipilih untuk menjadi raja mengikut syarat-syarat tertentu.
"Majlis Perajaan Negeri dalam sidangnya hari ini berpendapat bahawa keadaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra sekarang ini memerlukan seorang pengganti dipilih dan dilantik untuk menjadi Raja bagi menggantikan baginda mengikut Perkara 23A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).
"Keputusan Majlis Perajaan Negeri tersebut telah dibuat secara sebulat suara oleh 15 orang anggota majlis yang hadir pada pagi tadi yang mengikut peruntukan itu telah memilih, melantik dan mengesahkan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra menjadi Raja yang memerintah," katanya.
Beliau berkata, demikian pada sidang akhbar di Istana Negeri, Kubang Kerian selepas Majlis Penghadapan Penyerahan Watikah Pemasyhuran Kepada Sultan Kelantan yang baru itu.
Pada tengah hari ini, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan pemasyhuran itu di Balairung Seri Istana Balai Besar di sini yang turut dihadiri Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.
Mesyuarat Majlis Perajaan Negeri itu yang diadakan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim bagaimanapun tidak dihadiri dua anggotanya iaitu Anggota Parlimen Gua Musang yang juga bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah dan adinda bongsu Sultan Kelantan, Tengku Amalin A'Ishah Putri.
Aiseri berkata, Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan adalah peruntukan pindaan yang telah diwartakan pada 22 Julai lalu setelah Majlis Penasihat Raja bersidang pada 18 Julai bagi membolehkan pindaan Bahagian Yang Kedua undang-undang tersebut melalui Perwawai.
"Pindaan tersebut amat perlu bagi mengatasi kelompongan dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berkaitan kegeringan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra yang bermula pada 14 Mei 2009 sehingga sekarang dan dikhuatiri ianya terus berlanjutan," katanya.
Katanya, antara kuasa dan syarat pada pindaan itu adalah berkaitan pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada takhta Raja itu atau bakal Raja atau bakal-bakal Raja dan pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada takhta kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun anggota Majlis Pangkuan Raja bagi negeri.
"Saya berharap dengan kenyataan ini akan dapat memperjelaskan lagi tentang keputusan Majlis Perajaan Negeri sebagaimana yang disebutkan tadi," katanya. - BERNAMA
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris tepati kehendak rakyat Kelantan

KOTA BHARU 15 Sept. - Pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan menepati kehendak rakyat di negeri ini kerana sifat baginda yang amat prihatin dan menyelami nasib mereka.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia terbukti apabila baginda sering kali turun padang untuk berdamping dengan rakyat terutama golongan bawahan bagi menyelami nasib mereka.
Beliau turut menyifatkan pemasyhuran tersebut satu perkembangan yang baik untuk rakyat di negeri ini dan berharap semua pihak bersatu di bawah naungan baginda.
"Kita bersyukur Tuanku Al-Sultan dimasyhurkan dua hari lepas, kami semua (Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional) bukan sahaja hadir pada majlis tersebut, tetapi juga menyokong sepenuhnya kerana ini selaras dengan undang-undang dan Perlembagaan negara.
"Saya yakin rakyat Kelantan akan memberi taat setia kepada sultan dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Tuanku khususnya melalui program turun padang bertemu dengan rakyat seperti ziarah orang uzur dan ke masjid.
"Ini satu perkembangan yang baik dan diharapkan rakyat Kelantan akan bersatu di bawah Sultan," katanya selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri Bersama Pesara Pendidik di Sekolah Menengah Sultan Ibrahim di sini, hari ini.
Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Ahli Parlimen Pas di Kelantan percaya pelantikan Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai sultan Kelantan berupaya menamatkan krisis di dalam keluarga diraja itu.
Timbalan Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Bachok, Nasharuddin Mat Isa berkata, beliau dan rakan-rakannya berharap pelantikan itu akan memberi ruang baru kepada Kelantan untuk terus maju.
"Kami menyatakan sokongan penuh kepada Tuanku dan akan terus bekerjasama demi kemakmuran Kelantan," katanya pada sidang akhbar berhubung pelantikan Sultan Kelantan itu di sini, hari ini.
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_25.htm

Tuanku Ismail masih Sultan Kelantan

KOTA BHARU 13 Sept. - Kekanda Tuanku Ismail Petra, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra mendakwa adindanya itu masih merupakan Sultan Kelantan yang sah kerana baginda tidak melepaskan takhta.
Beliau sebaliknya mendakwa, pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru tidak memenuhi syarat dan melanggar Perlembagaan negeri yang menyatakan pemerintah Kelantan hanya boleh digantikan dengan tiga cara sahaja.
"Sultan hanya boleh digantikan sekiranya baginda mangkat, menghilangkan diri dari negeri tanpa alasan yang munasabah dan ataupun jika sultan turun takhta.
"Kesemua syarat tersebut tidak dipenuhi untuk melantik Tengku Muhammad Faris sebagai sultan kerana Sultan Ismail Petra masih ada dan tidak melanggar syarat-syarat yang ada sehingga membolehkan baginda disingkirkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas pemasyhuran Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru menggantikan ayahandanya berkuat kuasa hari ini.
Perisytiharan pemasyhuran Tengku Muhammad Faris itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.
Ia turut dihadiri oleh Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fa'iz Petra.
Upacara tersebut yang diadakan secara tertutup dan ringkas dihadiri oleh lebih 1,000 tetamu jemputan dengan kawalan ketat oleh pihak polis.
Menurut Tengku Merjan, beliau hanya mengetahui upacara pemasyhuran tersebut melalui berita yang disiarkan di televisyen dan tidak menyangka pihak berkenaan sanggup dan berani memperlakukan Tuanku Ismail Petra sedemikian.
Jelasnya, beliau tetap mempertahankan kenyataannya yang dikeluarkan sebelum ini bahawa mereka yang terlibat dalam usaha menyingkirkan adindanya sebagai penderhaka.
"Sebarang usaha yang dijalankan untuk menyingkirkan sultan daripada takhta adalah suatu penderhakaan dan menyalahi undang-undang.
"Saya akan mendapatkan khidmat nasihat perundangan daripada peguam dan akan membawa perkara ini ke tengah agar segala kekeliruan ini akan terungkai," ujarnya.
Sementara itu, bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Sri Utama Raja Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah berkata, peristiwa yang berlaku merupakan sejarah baru kesultanan Kelantan.
Jelasnya, tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini seorang sultan baru dilantik ketika sultan yang sah masih hidup.
"Ini adalah satu sejarah kerana sebelum ini pelantikan sultan yang baru hanya dibuat selepas baginda sultan mangkat," jelasnya.
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm


Selesaikan kemelut istana - Nik Aziz

KOTA BHARU 13 Sept. - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap pelantikan Tuanku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru dapat menyelesaikan kemelut istana negeri ini.
Sehubungan itu, beliau meminta segenap lapisan rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa, agar mendoakan semoga negeri ini selamat zahir dan batin serta dunia dan akhirat.
Berikutan pemasyhuran itu juga, beliau tidak mahu ada lagi pihak yang mengungkit isu pelantikan Sultan Kelantan setelah Tuanku Ismail Petra gering sejak lebih setahun yang lalu, seperti kata pepatah "rumah siap pahat berbunyi".
"Sekiranya ada lagi tukul dan pahat-pahat berbunyi, kita harap simpan dalam peti masing-masing," katanya kepada pemberita di Istana Negeri, Kubang Kerian di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis penghadapan dan penyerahan watikah pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.
Nik Abdul Aziz, yang juga Mursyidul Am Pas berkata, selama lebih setahun beliau menghadapi masalah untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai kemelut yang melanda istana Kelantan kerana beliau amat menghormati institusi itu.
Sementara itu di Bachok, UMNO Kelantan berharap pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru itu akan memakmur dan membangunkan Kelantan yang kini jauh ketinggalan berbanding negeri lain.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, UMNO menaruh harapan yang tinggi agar Sultan Kelantan dapat menjadikan Kelantan antara negeri yang termaju di negara ini.
"Bagi pihak UMNO Kelantan kita menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Sultan," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di Dewan Haji Hussin, Perupuk di sini yang dihadiri lebih 5,000 penduduk Bachok, sebilangan besarnya kaum nelayan.
Awang Adek, yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, kerajaan pusat akan terus menyalurkan pelbagai projek kepada Kelantan mengikut Rancangan Malaysia Kesepuluh, yang sedang diperincikan dan akan diumumkan bulan depan. - Bernama
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm