“MAK CIK kena makan ubat, jangan simpan dalam rumah saja. Jangan selang-seli, kalau terasa mahu muntah pun paksa juga makan. Insya-Allah kalau mak cik makan ubat ikut jadual akan sihat mungkin tidaklah gemuk macam Datuk (Datuk Dr. Awang Adek) atau saya, tapi makin sembuhlah badan mak cik," gurau Tuanku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail kepada seorang wanita berpenyakit kronik, Hasnah Ibrahim dalam ziarahnya ke rumah wanita itu di Kampung Peropok dekat Bachok, Kelantan, Ogos lalu.
Gurauan baginda yang ketika itu merupakan Pemangku Raja menyebabkan tetamu yang ada di rumah itu tersenyum termasuk Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin.
Mungkin itulah gambaran mudah siapakah Tuanku Muhammad Faris, 41, yang baru dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan.
Mesra dan prihatin akan keadaan rakyat. Sepanjang bergelar Pemangku Raja atau Tengku Mahkota, baginda kerapkali dilihat mencemar duli menziarahi golongan miskin dan ditimpa musibah.
Pemangku Raja
Antaranya, baginda menghadiri majlis tahlil di rumah bapa kepada mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat Pilatus, Muhammed Zulrihan, 39, dan menemui keluarga arwah Ustazah Norliza Ishak dan anak lelakinya yang mati dibunuh di Port Dickson, Negeri Sembilan Ramadan lalu.
Tuanku Muhammad Faris diputerakan pada 6 Oktober 1969 dan telah dianugerahkan gelaran Tengku Mahkota Kelantan pada Oktober 1985.
Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja pada 24 Mei tahun lalu setelah ayahanda baginda, Sultan Ismail Petra gering dan dibawa ke Singapura untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth.
Tuanku Muhammad Faris dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru selaras dengan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan pada 13 September lalu.
Baginda mendapat pendidikan awal di Kota Bharu dan di Kuala Lumpur. Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Oakham School Rutland, England sehingga tahun 1989. Baginda seterusnya memilih untuk menuntut ilmu di Oxford dalam bidang Pengajian Diplomatik di Kolej St. Cross dan Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.
Tuanku Muhammad Faris bukan sultan biasa. Selain baginda disifatkan oleh bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Sri Utama Raja Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah sebagai mencipta sejarah baru kesultanan Kelantan apabila dilantik ketika ayahandanya masih hidup, Tuanku Muhammad Faris juga mempunyai penampilan yang jarang dilihat pada sultan biasa.
Berjubah
Baginda sering memakai jubah atau berbaju ‘gumbang’ serta berkopiah. Baginda juga seorang imam kepada makmumnya.
Januari lalu, kala Sultan Ismail gering, baginda sendiri yang menjadi imam kepada ribuan rakyat jelata Kelantan menunaikan solat hajat berdoa akan kesejahteraan ayahandanya.
Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu menjadi saksi baginda mengimamkan solat hajat yang dihadiri lebih 1,000 rakyat negeri itu.
Tuanku Muhammad Faris sudah lama diketahui rakyat sebagai putera istana yang cintakan agama dan sering menjadikan masjid sebagai lokasi utama lawatan semasa program menziarahi rakyat di seluruh negeri.
Pada hari-hari biasa, Masjid Muhammadi di pusat bandar yang merupakan Masjid Negeri adalah masjid utama tempat baginda menunaikan solat berjemaah.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad memberitahu Jurnal, Tuanku Muhammad Faris sememangnya gemar mendekati golongan agama.
Dedahnya, dari dahulu lagi setiap orang daripada 15 anggota Jemaah Ulama, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri sudah mempunyai nombor telefon bimbit baginda untuk kemudahan berhubung bagi memberi sebarang pandangan dan nasihat.
“Tuanku Sultan memberi nombor telefonnya kepada kami secara peribadi dan berpesan supaya menelefon baginda pada bila-bila masa jika ada perkara yang dirasakan perlu ditegur dan dinasihati.
“Baginda memberi peluang sebegitu terbuka kepada ahli Jemaah Ulama untuk menegur baginda secara langsung tanpa ada sebarang halangan atau protokol.
“Saya tidak mengetahui jika ada ulama yang pernah menghubungi baginda khusus untuk tujuan itu tetapi begitulah istimewanya Tuanku Muhammad Faris dalam memberi pengiktirafan kepada ahli agama,” katanya.
Tambahnya, baginda juga sudah beberapa kali menunaikan fardu haji dan kali terakhir menyempurnakannya pada tahun 2004.
“Pengukuhan asas dan ilmu agama baginda ini sebenarnya bermula sejak baginda kecil lagi. Ia sudah menjadi tradisi keluarga diraja untuk menjemput para ulama datang ke istana negeri memberi kuliah agama.
“Antara yang pernah menjadi guru kepada Tuanku adalah bekas Mufti Kelantan iaitu Allahyarham Datuk Mohd. Nor Ibrahim manakala selepasnya pula ilmuwan tersohor Allahyarham Datuk Yusoff Zaky Yaacob.
“Pelbagai aspek agama disentuh daripada bab akidah, fekah dan akhlak menerusi pembacaan kitab-kitab khusus,” kata Mohamad Shukri yang kini menyambung tugas menyampaikan kuliah agama kepada keluarga diraja.
Beliau berkata, sejak dari kecil, baginda berguru mengaji al-Quran dengan seorang qari yang pernah menjulang nama negara di peringkat antarabangsa yang juga bilal ternama negeri ini iaitu Nordin Idris.
‘Ambo’
Katanya, sejak bersemayam di Istana Telipot beberapa tahun ini, Tuanku Muhammad Faris tetap meneruskan amalan memanggil ulama ke istana itu dan baginda tidak meminggirkan petugas-petugas dan pegawai pengiringnya dalam majlis ilmu tersebut.
“Kesemuanya dijemput hadir. Kuliah itu diadakan setiap minggu dan akan ditunda jika bertembung dengan jadual tugas Tuanku yang lain,” katanya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan, Tengku Mohd. Norhamzah Engku Hussin pula memberitahu, baginda seorang yang merendah diri.
“Seingat saya, semasa baginda menjadi Tengku Mahkota, baginda sering menggunakan perkataan ‘ambo’ sebagai kata ganti dirinya apabila berbicara. Ia jelas melambangkan keperibadian yang merendah diri memandangkan ‘ambo’ itu berbunyi seperti hamba,” ujarnya.
“Tapi apabila baginda kini bergelar sultan, mungkin baginda perlu lebih mengikuti protokol,” katanya. sambil melafazkan pertubuhannya menjunjung kasih dan taat setia kepada sultan sepenuhnya.
Tengku Mohd. Norhamzah memberitahu, baginda juga banyak mewarisi sifat ayahandanya yang menggemari sukan berkuda dan menembak.
Akhbar pernah melaporkan sebelum ini bahawa baginda turut meminati sukan lasak seperti ekspedisi 4X4.
Minat mendalam turut ditunjukkan terhadap sukan memanah, memburu, boling dan memancing. Baginda juga gemar memelihara haiwan seperti kuda, kucing, ayam, rusa dan burung.
No comments:
Post a Comment