Pages

kematian adalah sebaik-baik peringatan.....

Monday, April 5, 2010

MENGIRIM PAHALA BACAAN KEPADA MAYAT



BERTAHLIL merupakan satu perbuatan bacaan yang dilakukan untuk dikirimkan kepada seseorang yang meninggal dunia atau roh mayat. Ia merupakan satu tradisi tetap yang diamalkan di kalangan masyarakat kita pada hari ini.
Lazimnya, bacaan yang diucapkan semasa bertahlil ialah sedikit daripada ayat-ayat al-Qur'an yang tertentu, kalimah La Ilaha Illa Allah atau Subhanaallah atau lain-lain dengan niat bacaan-bacaan tersebut dapat dihadiahkan atau dikirimkan kepada orang yang meninggal dunia atau roh mayat di kalangan orang Islam.


Terdapat seperkara yang belum diketahui oleh banyak di kalangan orang Islam sama ada yang benar-benar mengikut mazhab imam Syafie atau mereka yang hanya mengikut-ikut sahaja, adalah amalan bertahlil dan doa selamat yang kononnya dikirimkan untuk seseorang yang mati sebenarnya bertentangan dengan banyak pendapat di kalangan ulama-ulama yang bermazhab imam Syafie. Ini termasuklah imam Syafie sendiri yang tidak sependapat atau tidak setuju dengan amalan bertahlil dan doa selamat. Terdapat juga ulama-ulama yang berpendapat amalan tersebut boleh dilakukan, namun pandangan tersebut adalah sangat lemah dan amat bertentangan dengan ajaran al-Qur'an (pada surah an-Najm ayat 39 dan sunnah nabi serta para sahabatnya).


Di bawah ini dibawakan sebahagian daripada pendapat ulama Safieyah berikutan masalah amalan tersebut. Pendapat-pendapat ini telah diambil dari kitab-kitab tafsir, kitab-kitab feqah dan kitab-kitab syarah hadith.

1. Pendapat Imam Syafie rahimahullah.

Imam Nawawi menyebutkan di dalam kitabnya, Syarah Muslim iaitu,

"Adalah, bacaan al-Qur'an (yang pahalanya dikirimkan kepada mayat), maka pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie ialah amalan tersebut tidak akan sampai kepada mayat. Sebagai dalilnya, imam Syafie dan para pengikutnya
mengambil daripada firman Allah SWT (yang bermaksud), "dan seseorang itu tidak akan memperoleh melainkan pahala daripada daya usahanya sendiri."

Serta dalam sebuah sabda Nabi Sallallahu `alaihi wasallam yang bermaksud, "Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah segala amal usahanya kecuali tiga daripada amalnya, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak (lelaki atau perempuan) soleh yang berdoa untuk simati" (an-Nawawi, Syarah Muslim : juz 1 hal; 9)

Lagi daripada imam Nawawi di dalam kitab Taklimatul Majmu', Syarah Muhazzab ada mengatakan,

"Adalah, membaca al-Qur'an dan mengirimkannya sebagai pahala untuk seseorang yang mati dan menggantikan sembahyang untuk seseorang yang mati atau sebagainya adalah tidak sampai kepada mayat yang dikirimkan menurut
Jumhurul Ulama dan imam Syafie. Keterangan ini telah diulang beberapa kali oleh imam Nawawi di dalam kitabnya, Syarah Muslim"


(as-Subuki, Taklimatul Majmu', Syarah Muhazzab: juz 10, hal; 426)

Menggantikan sembahyang untuk si mati bermaksud menggantikan sembahyang yang telah ditinggalkan oleh si mati semasa hidupnya.

2. Al-Haitami di dalam kitabnya, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, berkata sebagai,

"Bagi seseorang mayat, tidak boleh dibacakan kepadanya apa-apa pun berdasarkan keterangan yang mutlak dari ulama Mutaqaddimin (terdahulu) iaitu baca-bacaan yang disedekahkan kepada si mati adalah tidak akan sampai kepadanya kerana pahala bacaan tersebut pembaca sahaja yang menerimanya. Pahala yang diperolehi hasil daripada sesuatu amalan yang telah dibuat oleh amil (orang yang beramal) tidak boleh dipindahkan kepada orang lain berdasarkan sebuah firman Allah yang berbunyi, "dan manusia tidak memperolehi kecuali pahala dari hasil usahanya sendiri."

(Al-Haitami, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyah : juz 2, hal; 9)

3. Imam Muzani, di dalam Hamisy al-Umm, juga berkata,

"Rasulullah Sallallahu `alaihi wasallam telah memberitahu sebagaimana yang telah pun diberitakan dari Allah bahawa dosa seseorang akan menimpa dirinya sendiri seperti halnya sesuatu amal yang telah dikerjakan adalah hanya untuk
dirinya sendiri bukan untuk orang lain dan ia tidak dapat dikirimkan kepada orang lain."

(Tepi al-Umm as-Syafie : juz 7, hal ; 269)

4. Imam al-Khazin di dalam tafsirnya mengatakan,

"dan yang masyhur di dalam mazhab Syafie adalah, bahawa bacaan al-Qur'an (yang pahalanya dikirimkan kepada mayat) adalah tidak dapat sampai kepada mayat yang dikirimkan"

(Al-Khazin, al-Jamal : Juz 4, hal ; 236)

5. Di dalam tafsir Jalalain telah disebutkan seperti berikut,

"Maka seseorang tidak akan memperolehi pahala sedikit pun dari hasil usaha orang lain."

(Tafsir Jalalain : juz 2, hal ; 197)

6. Ibnu Katsir di dalam tafsirnya, Tafsirul Qur'anil Azim telah menafsirkan surah an-Najm ayat 39 sebagai,

"Iaitu, sebagaimana dosa seseorang tidak boleh menimpa ke atas orang lain begitu juga halnya seseorang manusia juga tidak boleh memperolehi sebarang pahala melainkan dari hasil usaha amalannya sendiri. Dan daripada surah an-najm ayat 39 ini, Imam Syafie r.a dan para ulama yang mengikutnya telah mengambil kesimpulan bahawa, sebarang pahala bacaan yang dikirimkan kepada mayat adalah tidak akan sampai kepadanya kerana amalan tersebut bukan daripada hasil usahanya sendiri. Oleh sebab itu, Rasulullah Sallallahu `alaihi wasallam tidak pernah menganjurkan umatnya agar mengamalkan (pengiriman tahlil atau doa selamat). Baginda juga tidak pernah memberikan bimbingan sama ada dengan nas atau berupa isyarat di dalam hal tersebut.

Terdapat juga di kalangan para sahabat ada yang melakukan amalan tersebut tetapi sekiranya amalan tersebut memang satu amalan yang digalakkan, tentunya mereka telah mengamalkannya lebih dari dulu lagi sedangkan amalan korban (mendekatkan diri kepada Allah) juga terdapat batasan-batasan nas yang terdapat di dalam di dalam al-Qur'an dan sunnah Rasul Sallallahu `alaihi wasallam dan tidak boleh dipalingkan dengan qias-qias atau pendapat-pendapat ulama."

Demikianlah beberapa pendapat ulama Safiyah yang menyentuh tentang amalan bertahlil dan pengiriman pahala bacaan kepada si mati. Namun begitu, ternyata pendapat-pendapat tersebut telah bersepakat dan mempunyai satu pandangan yang teguh iaitu mengirimkan pahala bacaan al-Qur'an kepada si mati adalah tidak akan sampai kepada si mati atau roh yang dikirimkan. Kini, jelaslah bahawa pengiriman pahala melalui amalan tersebut tidak akan sampai kepada si mati. Jadi, segala amalan yang dilakukan seperti itu merupakan satu amalan yang sia-sia atau membazir sedangkan Islam amat melarang umatnya supaya tidak membazir.

Dasar hukum yang telah para ulama tersebut ambil adalah dari firman Allah SWT di dalam surah an-Najm ayat 39 dan melalui hadith nabi Sallallahu `alaihi wasallam yang menerangkan bahawa apabila seseorang manusia itu mati, segala amalannya di dunia telah terputus kecuali tiga keadaan iaitu, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak-anak yang soleh untuk kedua ibu bapanya.


Apabila sudah jelas tentang hukum mengamalkan tahlil dan doa selamat, kini timbul pula masalah lain iaitu di dalam bacaan tahlil sendiri ada menyebut,


"Allahumma ausil tsawmaba ma wara'nahu ila ruhi fulan."

Maksudnya, "Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaan tahlil kami tadi kepada roh si Fulan."

Persoalan tersebut bolehlah dijawab, bahawa para ulama telah bersepakat, pengiriman pahala melalui bacaan tidak akan sampai kepada roh yang dikirimkan kerana ianya bertentangan dengan firman Allah di dalam surah an-Najm ayat 39.


Jika difikirkan secara dalam, amalan bertahlil ini amat canggung di sisi Islam. Mana tidaknya, bertahlil atau mengirimkan pahala melalui bacaan kepada seseorang mayat merupakan satu perbuatan yang melanggar syariat Allah, tetapi kemudian dimohon pula agar tahlil tersebut diberikan pahala dan pahalanya pula dimohon agar disampaikan kepada si mati atau roh si Fulan. Tidakkah ianya satu perbuatan yang janggal?

Tahlilan Dan Kenduri Arwah Mengikut Mazhab Syafie/2

BAB KEDUA
DOA SELAMAT UNTUK KEMATIAN

DOA selamat boleh digambarkan dengan berkumpul bersama-sama (keluarga dan masyarakat sekampung atau lain-lain) dengan dihidangkan makanan oleh keluarga yang mengalami kematian. Ianya dilakukan di rumah keluarga yang mengalami kematian pada hari kematian atau hari kedua, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus atau sebagainya.

Sebenarnya, apabila diperiksa, dirungkai dan diperhatikan satu persatu di dalam kitab-kitab Syafi'yah sama ada pada kitab Fiqh, tafsir mahu pun syarah-syarah hadith, amalan doa selamat telah ditemui di situ bahawa ianya adalah amalan yang dilarang atau dengan kata lain ialah haram.


Hal ini sebenarnya belum diketahui oleh ramai pengikut mazhab Syafie di kalangan kita sendiri. Jika ada yang tahu, tentu jumlahnya hanya segelintir sahaja. Oleh itu, mari kita ikuti bersama bagaimana pandangan ulama-ulama mazhab Syafie di dalam hal ini.

1. Di dalam kitab Feqh I'anatut Talibin telah menyatakan,


"Ya, apa-apa yang dilakukan oleh orang iaitu berkumpul di rumah keluarga mayat dan dihidangkan makanan untuk perkumpulan itu, ia adalah termasuk bid'ah mungkarat (bid'ah yang diengkari agama). Bagi orang yang membanterasnya akan diberi pahala."

(I'anatut Talibin, syarah Fathul Mu'in : juz 2, hal 145)

2. Imam Syafie sendiri tidak menyukai amalan berkumpul di rumah kematian sepertimana yang telah dikemukakan di dalam kitab al-Umm,


"Aku tidak sukakan mat'am iaitu berkumpul (di rumah keluarga mayat) meskipun di situ tiada tangisan kerana hal tersebut malah akan menimbulkan kesedihan."
(As-Syafie al-Umm : juz 1; hal 24

3. Selanjutnya di dalam kitab I'anatut Talibin juga ada menyebut lagi, "dan perkara yang sudah menjadi kebiasaan iaitu keluarga mayat menghidangkan makanan untuk para jemputan yang berkumpul, adalah satu perkara bid'ah yang tidak disukai agama (Islam). Hal ini samalah seperti berkumpul di rumah keluarga kematian itu sendiri kerana terdapat hadith sahih yang telah diriwayatkan oleh Jarir r.a yang berkata, "Kami menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga kematian yang menghidangkan makanan untuk jamuan para jemputan adalah sama dengan hukum niyahah (meratapi mayat) iaitu haram."

(I'anatut Talibin, juz 2, hal 146)

4. Pengarang kitab I'anatut Talibin juga ada mengambil keterangan sahih di dalam kitab Bazzaziyah iaitu,
"dan ianya dibenci, menyelenggarakan makanan pada hari pertama (kematian), hari ketiga, sesudah seminggu dan juga memindahkan makanan ke tanah kubur secara bermusim-musim."

(I'anatut Talibin, juz 2, hal 146)

5. Di dalam kitab Fiqh Mughnil Muhtaj ada menyebutkan,


"Adalah, keluarga kematian yang menyediakan makanan dan orang ramai berkumpul di rumahnya untuk menjamu, merupakan bid'ah yang tidak disunatkan, dan di dalam hal ini Imam Ahmad telah meriwayatkan hadith yang sahih daripada Jarir bin Abdullah, berkata, "Kami menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga kematian dan keluarga tersebut menghidangkan makanan untuk menjamu para hadirin, adalah sama hukumnya seperti niyahah (meratapi mayat) iaitu haram."

(Mughnil Muhtaj, juz1, hal 26

6. Di dalam kitab Fiqh Hasyiyatul Qalyubi ada menyatakan, "Syeikh ar-Ramli ada berkata, "di antara bid'ah yang mungkarat (yang tidak dibenarkan agama), yang dibenci apabila diamalkan sebagaimana yang telah diterangkan di dalam kitab ar-Raudhah, iaitu apa-apa yang telah dilakukan oleh orang yang dinamakan "kifarah" dan hidangan makanan yang disediakan oleh tuan rumah kematian untuk jamuan orang yang berkumpul di rumahnya sama ada sebelum atau sesudah kematian, serta penyembelihan di tanah kubur."


(Hasyiyatul Qalyubi, juz 1, hal 353)

7. Di dalam kitab Fiqh karangan imam Nawawi iaitu kitab al-Majmu' syarah Muhazab, ada menyebutkan, "Penyedian makanan yang dilakukan oleh keluarga kematian dan berkumpulnya orang yang ramai di rumahnya, adalah tidak ada nasnya sama sekali, yang jelasnya semua itu adalah bid'ah yang tidak disunatkan."


(an-Nawawi, al-Majmu' syarah Muhazab, juz 5, hal 286)

8. Pengarang kitab I'anatut Talibin juga turut mengambil keterangan di dalam kitab al-Jamal syarah al-Minhaj yang berbunyi seperti berikut, "an di antara bid'ah mungkarat yang tidak disukai ialah sesuatu perkara yang sangat biasa diamalkan oleh individu iaitu majlis menyampaikan rasa duka cita (kenduri arwah), berkumpul dan membuat jamuan majlis untuk kematian pada hari keempat puluh, bahkan semua itu adalah haram."


(I'anatut Talibin, juz 2, hal 145-146)

9. Selanjutnya, pengarang kitab tersebut juga ada mengambil lagi keterangan daripada kitab Tuhfatul Muhtaj syarah al-Minhaj yang berbunyi, "Sesuatu yang sangat dibiasakan oleh seseorang dengan menghidangkan makanan untuk mengundang orang ramai ke rumah keluarga kematian merupakan bid'ah yang dibenci sebab ada hadith yang telah diriwayatkan oleh Jarir yang berkata, "Kami (para sahabat nabi Sallallahu `alaihi wasallam) menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga kematian dan keluarga tersebut menghidangkan makanan untuk majlis itu adalah sama dengan hukum niyahah iaitu haram."


(I'anatut Talibin, juz 2, hal 145-146)

10. Pengarang kitab tersebut mengambil lagi fatwa dari mufti mazhab Syafie, Ahmad Zaini bin Dahlan,

"dan tidak ada keraguan sedikit pun bahawa mencegah umat daripada perkara bid'ah mungkarat ini sama seperti halnya menghidupkan sunnah nabi Sallallahu `alaihi wasallam. Mematikan bid'ah seolah-olah membuka pintu
kebaikan seluas-luasnya dan menutup pintu keburukan serapat-rapatnya kerana orang lebih suka memaksa-maksa diri mereka berbuat hal-hal yang akan membawa kepada sesuatu yang haram."


(I'anatut Talibin, juz 2, hal 145-146)

11. Dan di dalam kitab Fiqh Ala Mazahibil Arba'ah menyatakan, "an di antara bid'ah yang dibenci agama ialah sesuatu yang dibuat oleh individu iaitu menyembelih haiwan-haiwan di tanah kubur tempat mayat di tanam dan menyediakan hidangan makanan yang diperuntukkan bagi mereka yang datang bertakziah."


(Abdurrahman al-Jaza'iri, al-Fiqhu Ala Mazahibil Arba'ah, juz 1, hal 539)

Demikianlah di antara pendapat-pendapat para ulama Syafi'iyah berkenaan doa selamat atau kenduri arwah. Mereka telah bersepakatbahawa amalan tersebut adalah bid'ah mungkarat atau bid'ah yang dibenci.


Dasar hukum yang mereka ambil (mengikut kata sepakat atau ijma' para sahabat nabi Sallallahu `alaihi wasallam) ialah haram hukumnya mengamalkan amalan tersebut.

Bukankah lebih baik jika tuan rumah kematian menggantikan kenduri doa selamat untuk kematian atau lebih mudah disebut sebagai kenduri arwah kepada satu amalan bersedekah kepada ahli faqir dan miskin. Sebabnya ialah, jika
kenduri tersebut diniatkan untuk bersedekah makanan kepada orang yang menjamu hidangannya, kebanyakan orang yang hadir di dalam jamuan tersebut tentunya di kalangan orang yang berkemampuan dan sudah tentu sedekah tersebut kurang bererti bagi mereka atau tidak bererti sama sekali. Tambahan pula, jika amalan tersebut diniatkan sebagai amalan bersedekah, maka akan terjadilah satu amalan yang mencampuradukkan antara yang hak dan yang batil kerana amalan tersebut melibatkan dalam dua hal iaitu, ia diniatkan sebagai bersedekah iaitu amalan yang disukai agama dan dalam masa yang sama, berkumpul di dalam satu majlis jamuan yang telah diadakan di rumah kematian pula adalah satu perkara yang amat dilarang oleh agama atau disebut haram.


Mengirimkan pahala bacaan tahlil itu juga merupakan satu amalan yang sia-sia. Oleh itu, kedua-duanya sama sekali tidak boleh dilakukan kerana telah mencampuradukkan yang hak dan yang batil.

No comments: