Pages

kematian adalah sebaik-baik peringatan.....

Wednesday, January 11, 2012

Catatan dari Mumbai, Anwar sedia maafkan..


Saya dan Azizah tiba di Mumbai dan menuju Panchgani sebagai tetamu kepada sahabat lama, Rajmohan Gandhi, penyala obor perjuangan datuknya, pejuang besar India Mahatma Gandhi.

NONELebih tiga bulan lalu saya berjanji untuk bersama beliau menyemarakkan semangat perjuangan Gandhi bagi menegakkan demokrasi yang mempedulikan nasib rakyat serta menolak kezaliman dan rasuah.

Sepanjang dalam perjalanan selama tiga jam, saya menerima ribuan panggilan telefon, mesej dari Twitter dan Facebook, komen di blog serta SMS dari pelbagai lapisan masyarakat Malaysia dan dunia yang menyatakan kesyukuran dan rasa gembira.

Fikiran saya melayang mengenangkan wajah gelisah, sedih, derita keluarga dan rakyat terutama di saat cemas menunggu penghakiman pagi semalam.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana setelah sekian lama difitnah dan diaibkan oleh pemimpin dan media Umno, Hakim Datuk  Zabidin Mohd Diah memutuskan -- berlandaskan undang-undang dan fakta --  bahawa dakwaan seseorang tanpa saksi dan sebarang bukti sokongan adalah tidak dapat diterima. Malah keterangan forensik dan DNA yang dikemukakan pihak pendakwaan turut dipertikaikan kesahihannya.

Saya tidak berhasrat menyingkap permasalahan lalu atau memberikan sebarang tafsiran mengapa penghakiman mengejutkan ini berlaku. Walaubagaimanapun, saya bersyukur ke hadrat Allah Azzawajalla kerana saya bebas dari fitnah jahat sedemikian.

NONEKasih sayang Azizah dan keluarga; kesetiaan rakan-rakan PKR; dukungan PAS dan DAP;  para reformis dan sokongan dan iringan doa rakyat bukan saja ibarat penawar malah membajai penyuburan semangat dan daya juang saya.

Seperti lazimnya saya tidak cenderung untuk merintih kisah derita silam malah sedia memaafkan. Hanya yang dimasyghulkan ialah kebiadaban gerombolan kecil termasuk media Umno yang berdendam kesumat dan terus memfitnah saya.

Saya ingin mengajak saudara-saudari bersama rakyat Malaysia untuk  melonjakkan perjuangan menuntut kebebasan rakyat; pemerintahan yang telus dan adil; ekonomi yang dipacu segar tetapi mempedulikan nasib rakyat serta menolak keangkuhan kuasa dan rasuah.

Kami sekeluarga amat terharu dengan luahan simpati dan dukungan semua. Semoga usaha murni kita bersama direstui dan diberkati Allah SWT.

No comments: