Pages

kematian adalah sebaik-baik peringatan.....

Tuesday, November 10, 2009

Hadiah dari Tuhan

Sebuah monolog buat bonda

bonda dengan cucu2 di pusara Chomel, 2009

Bonda, aku selalu memanjatkan doa pada Ilahi agar aku diberi kesempatan untuk berbakti kepadamu. Aku selalu juga berharap andai malikat maut datang, biarlah aku yang dijemput dahulu. Dan setiap usi solatku, kupanjatkan doa agar bonda diberi rahmat olehNya, dilidungi , diberikan keafiatan dan kegembiraan serta ketenangan. Aku saban waktu seusai berbicara denganNya, akan memohon agar bonda (juga ayahanda) sentiasa diberi hidayat olehNya.

Sungguh, pengorbanan bonda tidak ternilai. Hanya aku yang tidak betah untuk membalas setimpalnya jasa-jasa bonda. Sedangkan aku anak lelaki yang sepatutnya malah dituntut oleh agama untuk menjaga bonda. Jarak dan komitment pada keluarga memisahkan aku dan bonda. Pun aku tidak pernah berputus asa memanjatkan doa agar aku dikembalikan ke sisi bonda selagi hayat ku dan hayat bonda masih berdetik. Aku ingin menerima anugerah Ilahi dengan menjaga bonda dan juga ayahanda.

Dalam usia 73 tahun, bonda masih lagi kuat di mata ku. Berbanding dengan usiaku, aku rasa bonda lagi kuat. Mungkin hasil amalan malam bonda, mungkin hasil dari kejerihan yang bonda tanggung selama ini. aku masih ingat suatu hari Jumaat tahun 1977 ayahanda datang ke asrama dan menyampaikan warkah yang isinya sudah ku tahu. Namun ku gagahi untuk membacanya bagi mencari kepastian. Saat itu aku mencari kesendirian di bilik mandi agar tidak diketahui teman-teman. Sehabis lembaran ayah kubaca, aku tidak dapat menahan airmata ku kerana kini pasti ayah dan bonda sudah berpisah.

Sejak dari itu, bonda dengan tabah memelihara kami anak2 bonda yang 8 orang serta abang. Dalam kejerihan hidup dengan gaji yang kecil, bonda harungi hidup tanpa memikirkan untuk mencari pengganti ayah. Bonda korbankan segalanya untuk kami. Lalu, apakah tega untuk ku biarkan semua itu terlipat dalam lipatan sejarah kehidupan. Tidak bonda, aku ingin membalas jasa bonda semampu mungkin. Aku ingin bahagiakan bonda semampu mungkin. Aku ingin apa jua derita bonda biar aku yang tanggung. Aku tak ingin secalit garis duka terkena bonda. Begitu, seandainya malaikat maut tiba, aku ingin aku duluan yang dijemput kerana aku tak akan sanggup melihat bonda disaat tersebut.

Bonda, aku sering membayangkan aku disamping mu. Melayan setiap kemahuan mu semampuku. Menemani bonda ke tempat2 pengajian, menemani bonda menziarahi taulan. Aku tahu semua itu tidak akan dapat menebus jasa2 dan pengorbanan bonda kepada ku, namun itulah yang mampu ku impikan. Bonda teramat sayang kepada anak2 bonda, namun hati bonda amat tabah. Saat Chomel sakratul maut bonda masih tabah untuk tidak menitiskan air mata. Padahal itulah kepergian pertama anak bonda mengadap Ilahi. Dan kesedihan bonda hanya bonda hamburkan beberapa hari selepas itu. Sungguh, bonda amat tabah. Dan kasih sayang bonda terhadap Saiful anak bongsu bonda amat dalam. Bonda sanggup tinggalkan apa jua majlis yang bonda hadiri kerana takut apabila Saiful balik ke rumah, bonda tidak ada. Bonda tidak mahu dia susah.

Bonda, aku pernah membisikkan pada Saiful betapa bertuahnya dia kerana mendapat hadiah dari Tuhan dengan diberikan peluang untuk menjaga bonda. Dan aku juga memahami kehendak dan perangai anak muda sepertinya yang punya agenda sendiri bersama anak isteri dan kawan2. Sebab itu, kadang2 bonda ditinggalkan bersendirian di rumah. Namun bonda, maafkan ku kerana menyatakan ini, aku amat tidak bersetuju dengannya yang merahsiakan pemergiannya untuk menonton bola di Bukit Jalil tempoh hari. Dan pada saat yang sama menantu bonda juga pulang ke rumah orang tuanya, meninggalkan bonda yang menanti kepulangan Saiful bersendirian. Aku dapat bayangkan kegelisahan bonda yang memikirkan keselamatan Saiful sedangkan pada saat yang sama dia sedang berhibur menonton bola. Sepatutnya dia maklumkan pada bonda agar hati bonda tenang dan anak cucu bonda yang lain dapat menemani bonda. Sepatutnya menantu bonda juga maklumkan pada bonda yang Saiful tidak balik pada hari itu dan dia juga tida balik.

Apa dayaku bonda. Jangkauanku tidak mampu menembus banjaran Titiwangsa untuk berada dekat bonda di saat ini. Tiap kali menelefon bonda, telefon bonda tidak aktif. Aku hanya boleh berbicara dengan bonda hanya apabila bonda menelefonku, itu pun kebanyakannya untuk menanyakan perihal Saiful. Bonda, aku harap Saiful akan genggam hadiah yang Tuhan berikan ini padanya agar peluang ini terus berada dalam genggamannya. Dalam masa yang sama aku dan anak2 bonda yang lain juga turut berharap untuk merasai hadiah Tuhan ini.

Sabda Nabi s.a.w bila ditanya oleh sahabat;

“Amal apa yang paling dicintai Allah?, sabda Rasulullah saw : Shalat pada waktunya. Lalu apa?, sabda beliau saw : Bakti pada ayah bunda. Lalu apa?, sabda beliau saw Jihad di Jalan Allah” (Shahih Bukhari)


No comments: