PENINGGALAN
 Nabi Muhammad SAW yang paling bernilai kepada umat Islam adalah 
al-Quran dan sunnahnya. Walaupun Rasulullah SAW tidak pernah membaca 
satu kitab pun sebelum dibangkitkan menjadi Rasul atau menulis satu 
kalimah tetapi baginda menggalakkan umatnya mempelajari ilmu tulisan dan
 bacaan.
Ia sebagaimana tindakan baginda kepada tawanan Perang 
Badar. Lebih utama lagi adalah membuktikan bahawa al-Quran yang 
dibawanya bukan ciptaan baginda tetapi diturunkan oleh Allah SWT.
Perkembangan teknologi yang berlaku sepanjang tahun hingga ke hari ini juga memberi kesan kepada Mushaf.
Jika
 dulu al-Quran ditulis dengan tangan tetapi pada hari ini ia dicetak 
dengan mesin menggunakan teknologi terkini. Al-Quran juga kini boleh 
dimuat turun dalam bentuk digital.
Cetakan al-Quran dan al-Quran digital masih lagi menggunakan kaedah tulisan yang diwarisi daripada Rasulullah SAW.
Penjagaan yang rapi untuk memastikan bacaan al-Quran tidak berubah dan nilai warisan daripada Rasulullah SAW terus terpelihara.
Keunikan
 rasm al-Quran ini terus terpelihara kerana ulama selalu memberi fatwa 
dan nasihat kepada umat Islam supaya menjaga nas al-Quran.
Imam Ahmad umpamanya berkata, haram menyalahi khat mushaf Uthman walaupun pada huruf 
wau, ya, alif dan yang lain.
Imam
 Baihaqi pula berkata sesiapa yang menulis Quran maka hendaklah menjaga 
ejaannya yang telah ditulis para sahabat dan jangan menyalahi atau 
merubah apa yang telah mereka tulis.
Ini kerana sesungguhnya 
mereka (para sahabat) adalah orang yang paling banyak ilmu, yang paling 
betul hati dan lidah, yang paling beramanah berbanding kita maka tidak 
selayaknyalah kita merasa sangsi untuk mencari kesalahan mereka.
Selain itu, pengekalan rasm al-Quran terus terjaga kerana ia memberi kesan kepada bacaan kitab suci tersebut.
Umpamanya, kalimah rahmat yang ditulis dengan dua bentuk sama ada berakhir dengan 
ta' marbutah atau 
ta' maftuhah.
Jika kalimah rahmat ditulis dengan 
ta' marbutah di akhirnya, ketika wakaf ia dibaca dengan
 hadan jika akhirnya ialah 
ta' maftuhah, ketika wakaf ia dibaca dengan 
ta.
Segala tanda dalam al-Quran meliputi baris, 
tasydid, tanda 
mad (panjang), 
sukun (mati) dibincangkan ulama terdahulu dengan teliti.
Setiap satunya ditanda dengan ulama bersepakat berdasarkan kepada kejelasan dan hujah.
Umpamanya tanda 
fathah (baris atas), asalnya adalah 
alif yang dicondongkan. Tanda
dhommah (hadapan) asalnya wau yang dikecilkan dan semuanya itu amat bersesuaian dengan bacaan 
fathah di mana mulut pembaca akan terbuka dan jika pembaca membaca
dhommah mulut si pembaca akan muncung.
Hasil
 sepakat ulama dan hujah yang kuat ini menjadikan masyarakat Islam 
seluruh dunia boleh membaca al-Quran tanpa ada kekeliruan.
Namun ada juga setengah pihak yang ingin menandakan al-Quran dengan alamat yang baru.
Walhal mereka tidak menghafaz al-Quran sebagaimana ulama terdahulu, kitab-kitab 
Dabt dan
Rasm tidak pernah mempelajari bahkan tidak ada dalam simpanan mereka sebagai rujukan.
Utusan Malaysia Online, Ruangan Ugama.Arkib: 16/112011