Pages

kematian adalah sebaik-baik peringatan.....
Showing posts with label ramadhan. Show all posts
Showing posts with label ramadhan. Show all posts

Thursday, September 17, 2009

Mengisi ibadat 10 malam terakhir Ramadan - Dato Dr Haron Din

Mengisi ibadat 10 malam terakhir Ramadan - Dato Dr Haron Din

MUQADIMAH: Umat Islam seluruh dunia kini berada dalam 10 malam terakhir Ramadan. masing-masing berebut-rebut menyempurnakan amal ibadat sepanjang malam akhir ini. Ikuti wawancara INTAN ABDULLAH bersama Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din yang banyak mengupas mengenai amalan terbaik yang dianjurkan menjelang akhir Ramadhan dalam mengejar Lailatul Qadar, 10 malam terakhir.

Dalam persiapan umat Islam untuk menempuh 10 malam terakhir Ramadan kali ini, apakah amalan ibadah yang terbaik dilakukan?

USTAZ DATO' DR HARON DIN: Umat Islam sepatutnya menyedari bahawa Ramadan mempunyai beberapa nama yang di antaranya shahrul maghfirah ataupun bulan yang dijanjikan padanya pengampunan.
Hadis nabi jug amenyebutkan demikian, yang mafhumnya: "Ramadan awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka."
10 hari terakhir adalah paling penting dalam bulan Ramadan kerana bukan sahaja keampunan yang dijanjikan Allah itu sebagai suatu hadiah Allah kepada umat yang taat berpuasa bagi mendapat redha Allah. Akan tetapi dikhususkan suatu anugerah luar biasa yang sepatutnya dinanti-nantikan oleh umat Islam seluruhnya dengan janji Lailatul Qadar, malam Qadar, malam yang terkenal dengan jaminan sehingga ada satu surah al-Qadar dan disebut secara khusus beribadat pada malam itu lebih baik daripada ibadat seribu bulan.

Apa yang dimaksudkan dengan ibadah malam itu Ustaz?

Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan ibadat malam itu memanglah baik kalau sepanjang malam itu dipenuhi dengan ibadat. Tetapi Allah SWT sangat mengetahui lemahnya manusia ini dalam menghadapi kerja-kerja ibadat malam dengan masalah mereka, bebanan-bebanan hidup yang lain dan sebagainya yang memang tidak memungkinkan seorang Islam itu beribadat daripada seawalMaghrib sehingga ke matahari naik.
Maka Allah anugerahkan satu lagi nikmat iaitu ibadat malam ini nabi pernah sebut dalam hadis sahih yang bermaksud: "Sesiapa yang menunaikan solat malam (solat tarawih) bersama imam dan dia tidak meninggalkan solat itu atau surau atau tempat yang dia mendirikan solat itu sehinggalah imam selesai solat, maka ditulis baginya seperti beramal sepanjang malam."

Boleh Ustaz jelaskan?

Ertinya dengan menumpukan 10 malam terakhir ini sehingga selesai Ramadan dengan solat tarawih dan membaca al-Quran dan sebagainya di tempat ibadat bersama imam dan dia tidak meninggalkan tempat itu seperti mana jika imam solat 20 rakaat dan dia solat lapan rakaat sahaja dan berhenti, hilang karamah dan sebagainya. Itu rugi kerana dia tidak mendapat ibadat sepanjang malam kerana itu perlu bersama dengan imam sampai imam bagi salam yang terakhir berdoa, selesai.
Maka ibadat yang dilakukan pada mana-mana malam terakhir itu pada kebiasaannya berlakulah Lailatul Qadar. Cuba kita bayangkan kalau dapatlah Lailatul Qadar pada satu malam itu kita beribadat yang pahalanya bersamaan dengan satu ribu bulan atau bersamaan dengan 83 tahun beribadat, maka tentulah satu hasil yang dapat kita perolehi daripada beribadat 10 malam terakhir ini begitu memberangsangkan.

Tapi ada yang tidak menghiraukan itu Ustaz?

Saya berharap supaya tidak sahaja Ramadan ini tidaklah berlalu begitu sahaja tanpa ada sesuatu yang lebih bermakna dalam kehidupan seorang muslim seperti siangnya beribadat puasa malamnya sujud menyembah Allah SWT.
Hati berzikir kepada Allah, akal memikirkan kejadian Allah, memerhati ayat-ayat Allah swt melihat sekeliling kita banyak memberi pengajaran betapa kerdilnya manusia di hadapan kebesaran Allah.
Betapa murahnya Allah dengan amalan yang sedikit tetapi pahalanya yang begitu besar, betapa murninya seorang muslim telah memanafaatkan anugerah Allah pada hari yang tiada sesiapapun dalam alam ini boleh melakukan demikian.
Inilah yang dilaporkan dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu sembah Daku. Inilah jalan yang mustaqim."
Maknanya sembah Allah swt walaupun berlaku sepanjang masa tetapi ada masa-masa yang kualitinya, nilainya jauh lebih besar daripada hari-hari yang lain dan hari itu ialah hari yang kita panggil dengan malam-malam Ramadhan terutama sekali pada waktu yang akhir begini ataupun pada 10 hari yang ketiga dari bulan Ramadan al-mubarak.

Apa yang kita harapkan pada 10 malam terakhir ini?

Semoga Allah menerima amal kita sekalian dan memungkinkan kita bertemu dan melakukan ibadat tahun ini khasnya bertepatan dengan malam Qadar yang dinanti-nantikan oleh seluruh insan yang mengetahui nilainya. Semoga Allah memberkati kita pada bulan yang membawa barakah ini.

Hadis nabi ada menyebut barangsiapa mengerjakan umrah pada bulan Ramadan beroleh ganjaran seumpama mengerjakan haji bersama Rasulullah SAW. Bagaimana pengalaman ustaz mengerjakan umrah pada bulan Ramadan dan adakah ia suatu tuntutan untuk mengerjakan amalan tersebut?

Umrah salah satu daripada suruhan syarak daripada gesaan Allah SWT yang disebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan sempurnakanlah kerja haji dan umrah kerana Allah swt."
Dua kewajipan itu nabi pernah sebut dalam hadis yang sahih: "Haji dan umrah dua kewajipan tidak mengapa mana-mana antara kedua-dua kewajipan itu boleh memulakan haji dahulu, umrah kemudian, boleh umrah dahulu haji kemudian dan boleh dilakukan kedua-duanya sekaligus."
Dalam konteks ini haji hanya setahun sekali boleh dilakukan bermula dengan 9 Zulhijjah berakhir dengan 13 Zulhijjah. Adapun umrah boleh dilakukan di sepanjang tahun.
Rasulullah saw menyebut dalam hadis yang sahih: "Satu pekerjaan umrah atau sekali pekerjaan umrah di dalam bulan Ramadhan adalah menyamai pahalanya dengan sekali mengerjakan haji bersama-sama denganku."
Jadi, haji pahalanya sangat besar lebih-lebih lagi kalau dikerjakan bersama dengan nabi Muhammad saw kerana semuanya kita mendapat panduan secara terus daripada nabi saw.
Maka haji yang paling sempurna dilakukan bersama dengan Rasulullah saw kerana baginda pernah menyebut dalam hadis sahih :"Ambillah daripada aku manasif haji adapun ibadah-ibadah haji, itulah haji yang terbaik."
Kerana itu orang-orang yang menyedari dan mengetahui kelebihan ibadat ini mereka berlumba-lumba mencari peluang untuk mengerjakan umrah pada bulan Ramadan.

Bukankah banyak amalan lain yang boleh dilakukan di Masjidil Haram ustaz?

Bukan sahaja umrah, ada amalan-amalan lain yang memang sepatutnya menjadi kegemaran minat yang tinggi umat Islam iaitu beribadat dengan sebanyak-banyaknya di dalam Masjidil Haram terutamanya dalam bulan Ramadan.
Beribadat di Masjidil Haram seperti yang diketahui umum pahalanya berganda sehingga 100 ribu kali ganda. Solat pun gandaannya sama, 100 ribu kali gandaan, puasanya pun sama gandaannya, 100 ribu kali gandaan, baca Quran pun sama dan bersedekah di sana pun sama dan membuat apa sahaja kebaikan pahalanya berganda sampai 100 ribu kali ganda.
Oleh itulah maka ibadat Ramadan ini menjadi kegemaran kerana tawaran Allah swt.

Tentang berulangnya amalan umrah di bulan Ramadan memang ada ditimbulkan keraguan boleh atau tidak umrah yang dilakukan berkali-kali?

Ada hadis yang bermaksud: "Satu umrah ke satu umrah yang lain merupakan kaffarah atau penebus dosa bagi dosa-dosa yang dilakukan antara keduanya."
Hadis ini memberi makna nabi menggalakkan umatnya mengadakan, melaksanakan beberapa kali umrah. Kerana itu maka berulangnya umrah ada hadis yang sahih. Larangan jangan banyakkan umrah itu tiada hadis, sebaliknya yang menggalakkannya ada.
Oleh itu saya rasa majoriti umat yang pada pengalaman saya jumlah pengunjung Baitullah dalam Ramadan ini lebih ramai daripada jumlah umat Islam yang mengerjakan haji pada musim haji.
Atas sebab itulah maka amalan seperti ini termasuk di dalam amalan-amalan yang memberi ruang yang boleh dan ada kemudahan bagi melaksanakannya untuk berlumba-lumba mencari kebaikan itu kerana ada ayat Quran yang menyebutkan: "Dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Allah SWT kerana syurga yang dijanjikan kepada mereka itu lebarnya selebar semua langit dan kesemua bumi."
Dan ada ayat Quran lain yang bermaksud: "Maka berlumba-lumbalah kamu untuk menjadi orang yang hampir dengan Allah SWT."
Ini termasuk dalam ajaran-ajaran Islam yang membanyakkan umat Islam mendapat peluang untuk mendapatkan pahala Allah swt sebanyak-banyaknya.

Thursday, September 3, 2009

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

( artikel ini telah disiarkan tahun 2006 dan 2007 yang lalu, disiarkan semula bagi manfaat bersama,

terdapat beberapa perkara yang telah ditambah) 

Oleh

 Zaharuddin  Abd Rahman

www.zaharuddin.net 


Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih. Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Ertinya :  menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

13) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم

Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net